TIDUR: PENTING UNTUK KESIHATAN & PANJANG UMUR

TIDUR bukan sekadar “masa rehat” yang perlu dalam kehidupan seharian kerana ia amat penting untuk kesihatan. Jika anda tidak tidur nyenyak atau langsung tidak tidur, anda berisiko mengalami yang berikut:


MASALAH KESIHATAN


SISTEM IMUN LEMAH.

Sistem imun lemah menyebabkan selesema, flu atau jangkitan yang lain. Kajian menunjukkan keadaan kurang tidur yang sederhana sekalipun mengurangkan sel-sel darah putih dan menjejaskan sistem imun. Hasil satu ujikaji lain pula mendapati, apabila anda membiarkan tikus tidur cuma selama 8 jam, dan kemudian mencabar tubuhnya dengan kemasukan bahan asing, antibodi menjadi lemah.

Tikus yang kurang tidur kekurangan daya tahanan kepada jangkitan virus influenza dalam paru-paru, selain kurang mampu menghasilkan interferon dan lain-lain pencegah jangkitan yang penting.

Kajian terbaru ke atas manusia juga menunjukkan kekurangan beberapa jam tidur boleh mengganggu corak normal maklum balas sistem imun.

Sel-sel pembunuh semula jadi dalam sistem imun kita turut terjejas akibat kurang tidur. Kajian mendapati mereka yang berjaga sehingga jam tiga pagi sebelum terlena mengalami 30% penurunan dalam bilangan sel pembunuh pada hari berikutnya, dan menyusutkan aktiviti dalam sel pembunuh semula jadi yang masih wujud.

Kelemahan fungsi sistem imun mendedahkan kita kepada serangan virus yang lebih berat, misalnya virus selesema. Memandangkan sel-sel imun ini turut melindungi tubuh daripada tumor, sesetengah penyelidik percaya kekurangan tidur yang kronik boleh meningkatkan risiko serangannya.

Penghidap insomnia yang kronik atau mereka yang seringkali kurang tidur dipercayai “lebih terdedah kepada serangan virus, bakteria atau kulat,” kata James Krueger, Ph.D., seorang neurobiologis dari Universiti Washington.

Dalam satu lagi kajian dari Universiti Pennsylvania dan Institut Kesihatan Kanak-Kanak dan Pembangunan Manusia, Institut Kesihatan Kebangsaan AS, kurang tidur didapati menjejaskan hormon imun di kalangan lelaki dan wanita yang sihat, yang tidur selama 6 jam setiap malam selama seminggu.

Subjek mengalami paras hormon imun lebih tinggi, yang boleh dikaitkan dengan peningkatan risiko diabetes, aterosklerosis, tekanan darah tinggi dan osteoporosis. Sistem imun yang lemah juga bermakna luka dan kecederaan mengambil masa yang lebih lama untuk sembuh.

Sebaliknya, lebih banyak tidur ketika sakit terbukti boleh mencepatkan proses penyembuhan.



DIABETES.

Kajian oleh Eve Van Cauter, Ph.D., penyelidik mengenai tidur di Universiti Chicago dan rakan-rakannya mendapati, mereka yang membatasi waktu tidur antara 4-6 jam pada malam hari perlu merembes kira-kira 40% lebih banyak insulin untuk mengekalkan toleransi glukosa ke paras normal. Ini meletakkan seseorang itu dalam keadaan dipanggil ketahanan insulin, yang merupakan faktor risiko signifikan bagi diabetes Jenis ke 2 (membabitkan orang dewasa).

Ia juga dikaitkan dengan pelbagai masalah seperti tekanan darah tinggi dan paras kolestrol yang luar biasa.

Satu kajian oleh Persatuan Diabetes AS pada tahun 2001 ke atas 27 orang dewasa yang sihat dan tidak gemuk dalam lingkungan usia 23-42 tahun mendapati, kekurangan tidur yang kronik di kalangan dewasa muda yang sihat sememangnya menjejaskan fungsi insulin.



KEGEMUKAN.

Masalah kurang tidur turut dikaitkan dengan peningkatan kadar kegemukan. Kurang tidur melemahkan hormon pertumbuhan yang mengawal nisbah lemak dan otot tubuh, selain mengawal hormon leptin. Dengan paras hormon leptin yang lebih rendah, tubuh akan mengigini karbohidrat sungguhpun anda cukup makan. Itulah sebabnya sesetengah orang terasa amat lapar dan sukar menjauhi makanan yang berlemak dan berkarbohidrat apabila kurang tidur cuma semalam.



HILANG BERAT BADAN.

Beberapa kajian mendapati mereka yang kurang tidur cenderung makan lebih. Sungguhpun pada awalnya mereka mengalami pertambahan berat badan, mereka mulai kehilangannya apabila terlalu kerap kurang tidur.

Dalam ujikaji ke atas haiwan, tikus yang 92% tidak cukup tidur didapati memakan 21/2 kali ganda makanan yang biasa dimakan, selepas kajian bermula. Pada penghujung 3 minggu, haiwan itu didapati kehilangan kira-kira 20% daripada berat tubuh asalnya.



KANSER PAYUDARA.

Kajian pada tahun 2001 di Pusat Penyelidikan Kanser Fred Hutchinson di Seattle dan Pusat Perubatan Harvard mendapati pekerja wanita shif malam yang tidak cukup tidur dalam satu malam atau lebih setiap minggu, lebih berisiko menghidap kanser – 14% bagi setiap malam yang mereka tidak tidur.

Ini bersama risiko kesihatan lain yang dialami oleh pekerja syif berpunca daripada gangguan jam-siang-malam-otak, yang menjejaskan keseimbangan paras hormon. Wanita yang terdedah kepada banyak cahaya pada sebelah malam didapati lebih cenderung mengalami kanser payudara.



MASALAH GASTROUSUS.

Segala masalah kesihatan ini, antaranya perut tidak hadam, berangin, sembelit, dan segah selepas makan, sering dialami oleh pekerja syif.

Dalam kes-kes yang lebih teruk, mereka cendurung mengalami masalah lapisan perut menjadi kembang (seperti gastritis) dan ulser peptik. Pekerja syif lebih 6 kali ganda cendurung mengalami masalah gastrousus berbanding pekerja lain.

Salah satu kesimpulan yang dibuat ialah masa makan mereka yang tidak menentu dan tidak sepadan dengan ritma sirkadian (jam dalaman tubuh, yang antara lain mengatur pusingan tidur dan jaga manusia), yang menyebabkan enzim-enzim usus dirembeskan pada masa yang tetap dalam tempoh 24 jam. Satu kajian mendapati jika pekerja mempunyai penyakit sistemik sedia ada seperti sawan atau diabetes yang bergantung kepada insulin atau masalah neuropsikiatrik, kerja syif hanya memburukkan keadaan mereka.



MENJEJASKAN FUNGSI ASAS TUBUH.

Masalah tidak cukup tidur megubah fungsi asas tubuh iaitu mengawal parah gula-darah dan merembes beberapa hormon. Demikian laporan dikeluarkan oleh Pusat Perubatan Universiti Chicago dalam The Lancet.

    • Kesan ke atas parah hormon. Kurang tidur mengubah pengeluaran dan tindakan hormon tubuh – ia melambatkan rembesan hormon perangsang tiroid dan mningkatkan paras darah kortisol (terutama pada waktu tengah hari dan petang).

    • Kesan ke atas tolerans glukosa. Pengurangan waktu tidur yang standard daripada 8 jam kepada hanya 4 jam setiap malam menyebabkan perubahan dalam toleransi glukosa (dan fungsi endokrin) dalam masa kurang dari seminggu.



STRES.

Dalam satu kajian di Pusat Sains Kesihatan Universiti Temple, Philadelphia, yang mengukur kadar degupan jantung (petunjuk stres) ketika menjalankan 33 prosedur pembedahan, 80% mempunyai kadar degupan yang tinggi. Sesetengah doktor berkenaan hanya tidur selama dua jam pada malam sebelumnya.

Stres membuatkan anda kurang cekap, tidak terurus dan kelam-kabut. Tidak hairanlah, doktor-doktor yang berada dalam keadaan mengantuk didapati “tidak dapat membuat keputusan yang tepat dan menggunakan kaedah pembedahan yang kurang dirancang dengan teliti, membabitkan 30% tempoh pembedahan”.

Dalam perkataan lain, hampir sepertiga daripada masa pesakit berada di meja pembedahan, pakar bedah yang kurang tidur itu menjalankan pembedahan yang kurang cekap, melambatkan prosedur dengan pergerakan yang perlahan dan melakukannya dalam keadaan tidak sempurna.



CEPAT TUA.

Tidur yang cukup akan melambatkan proses kedutan di muka. Penyelidikan di Universiti Chicago menunjukkan kehilangan sebahagian masa tidur dalam jangka pendek sekalipun boleh mencepatkan proses penuaan.

“Perubahan hormon metabolik dan endokrin kerana kurang tidur menyerupai banyak petanda penuaan,” kata ketua kajian itu, Profesor Eve van Cauter. Kita menghasilkan hormon pertumbuhan ketika tidur, di mana bagi orang dewasa, membolehkan sel-sel kita (khususnya sel-sel kulit, selain darah dan otak) membaharui dan memulih.

Banyak sel tubuh juga menunjukkan penurunan pemecahan protein ketika tidur nyenyak. Memandangkan protein merupakan blok pembina yang perlu untuk pertumbuhan sel, membaik pulih kerosakan akibat stres dan sinar ultraungu, tidur nyenyak boleh menjadikan tidur sesuatu yang sempurna.

Perkara di atas menjelaskan kenapa golongan yang kurang tidur kelihatan tua sebelum waktunya.



MURUNG & ENGGAN BERGAUL

Semakin bertambah kehilangan masa tidur, semakin kurang sifat gurau senda, dan menjadi lebih tertekan. Golongan ini tidak lagi ternanti-nanti perkara yang mengembirakan selama ini, malah lebih mudah meradang dan melenting kepada orang lain. Jika kekurangan tidur berpanjangan, mereka hilang minat untuk bergaul.



LETIH

Penyelidikan Perancis yang menguji pelumba basikal yang kehilangan tiga jam waktu tidur yang normal, mendapati kadar degupan jantung mereka lebih tinggi, dan kemampuan mereka untuk mengangkut oksigen berkurang.

Ukuran laktat darah (yang bertanggungjawab terhadap rasa otot yang penat) menunjukkan dengan kehilangan waktu tidur semalam, pelumba-pelumba itu mempunyai kapasiti keletihan yang

berkurangan sebanyak 11%.



TIDAK SELESA

Keadaan kurang tidur antara 7-8 jam dalam tempoh seminggu pun mempunyai kesan-kesan yang ketara. Mood menurun dan tubuh kepenatan. Sesekali anda mungkin terasa gatal mata atau panas, pandangan kabur dan tubuh seram-sejuk.

Kajian dari AS mendapati orang yang tidur selama 6 jam setiap malam selama seminggu menjadi kurang berwaspada dan kurang memberi tumpuan sehingga menjejaskan pekerjaan seharian mereka.

Kurang tidur juga boleh menyebabkan sakit kepala, keletihan pada waktu siang dan mudah meradang dan gerak geri menjadi perlahan. Kurang tidur juga mengurangkan nafsu seks.

Bagi pekerja syif yang tidak menentu masa tidurnya, terdapad risiko kardiovaskular. Orang-orang yang jadual kerjanya sentiasa bertukar ganti cenderung diserang sakit jantung berbanding pekerja biasa. Masalah seperti diabetes dan sawan mungkin sukar dikawal apabila seseorang menjalani kehidupan yang tidak menentu. (Kerja syif diketahui mengganggu ritma sirkadian tubuh, iaitu pusingan tidur/jaga)



USIA MENJADI SINGKAT

Kesemua gabungan faktor di atas memendekkan jangka hayat. Kajian mendapati mereka yang paling berisiko mati awal ialah mereka yang kurang tidur setiap malam.



70% RISIKO MATI MUDA

Hasil kajian mendapati golongan yang tidak cukup tidur lebih berisiko mati muda berbanding mereka yang tidur dengan sempurna.


Keadaan tidak tidur sama sekali hanya mencepatkan proses ini

  1. Kajian dari Perancis pada tahun 1894 mendapati anjing yang tidak cukup tidur langsung membawa kepada kematiannya. Hasil bedah siasat mendapati pendarahan berlaku dalam otaknya.

  2. Kajian-kajian lain juga mendapati anjing cenderung mati selepas 13 hari tidak tidur.

  3. Kesan tidak tidur ke atas anjing lebih cepat – 6 hari tanpa tidur menyebabkan kematian.

  4. Dalam satu kajian Dr Allan Rechtschaffen, tikus ujian tidak tidur kira-kira 92% daripada waktu tidur hariannya. Hasil pemerhatiannya mendapati tikus-tikus itu kelihatan teruk, bulunya bertukar kekuningan, ekornya berkudis, dan hilang berat badan sungguhpun kuat makan.

  5. Kesemuanya mati dalam tempoh 11-32 hari. Ujian bedah siasat tidak dapat memastikan punca kematiannya. Tikus-tikus itu mati begitu saja.

Ritma kesihatan dan penyakit


Dalam pusingan terang dan gelap selama 24 jam, ada ketikanya tubuh mudah dijangkiti penyakit.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

TIDUR: RAKAN KARIB KANAK-KANAK

BAGAIMANA TIDUR JEJASKAN OTAK

TIDAK CUKUP TIDUR