BAGAIMANA TIDUR JEJASKAN OTAK

RAMAI yang menyangka tidur sekurang-kurangnya lima jam sudah mencukupi untuk membolehkan mereka menghadapi hari berikutnya. Tetapi tempoh itu mungkin hanya cukup untuk merehatkan tubuh kerana otak memerlukan banyak tidur.

Tidur adalah penting bagi fungsi otak. Otak yang tidur amat aktif beberapa ketika di sebelah malam, melakukan pelbagai tugas psikologi, neurologi dan biokimia.Kesemuanya penting untuk mengekalkan kehidupan, menyusunnya semula dan meningkatkan daya ingatan serta fikiran.


MENJEJASKAN DAYA INGATAN

PENYELIDIKAN oleh pakar tidur terkemuka tentera AS, Kolonel Gregory Belenky, menjelaskan “fungsi otak merosot ekoran tempoh berjaga yang berpanjangan”.

Imej otak berteknologi tinggi yang dikaji oleh Belenky menunjukkan kekurangan tidur yang terkumpul menyusutkan keseluruhan fungsi otak. Lebih penting lagi, ia menjejaskan bahagian otak yang bertanggungjawab terhadap daya tumpuan, perancangan yang sulit serta operasi untuk pulih daripada keaadaan kurang tidur. Selepas 48 jam pulih daripada keadaan itu, subjek penyelidikan masih melakukan lebih banyak kesilapan berbanding ketika mereka bermula.

Para penyelidik dari Sekolah Perubatan UCSD membuat hipotesis bahawa otak teruk terjejas akibat kurang tidur kerana sesetengah corak aktiviti elektrik dan kimia yang biasanya berlaku ketika tidur terganggu, dengan itu menjejaskan kebolehan otak untuk berfungsi dengan sempurna.

Pertimbangan yang tidak wajar akibat terjejasnya aktiviti otak membahayakan pekerja industri, pemandu dan pekerja lain yang tinggi risikonya (lihat “Mengancam keselamatan” di ms 32)


MELAMBATKAN PROSES MENTAL

KIRA-KIRA 50 kajian yang melihat perkembangan mental dan kerap kurang tidur mendapati hutang tidur boleh melambatkan proses-proses mental.

Menurut kajian tersebut, kehilangan hanya 4 jam tidur dalam satu malam boleh membuatkan tindak balas seseorang 45% lebih lambat. Pengabaian tidur semalaman meningkatkan dua kali ganda masa untuk bertindak balas.

Hutang tidur juga memberi kesan secara langsung terhadap kemampuan berfikir dan keberkesanan mental. Kehilangan tidur yang berterusan boleh menjejaskan proses-proses memori kita, terutama ingatan dalam jangka pendek (atau segera) yang membantu kita menjaga butir-butir dalam fikiran kita.

Ia juga menjejaskan kemampuan beralasan yang wajar – kita bertindak balas dengan menggunakan maklum balas yang telah diprogram. Apa sahaja yang di luar kebiasaan akan membuatkan kita mula melakukan kesilapan.


MENJEJASKAN KREATIVITI

DALAM satu kertas kerja yang diterbitkan di dalam jurnal Sleep, penyelidik British James Horne, melaporkan bahawa tidak tidur semalaman pun boleh menjejaskan daya pemikiran paling kreatif atau pemikiran terpesong, yang membabitkan keadaan spontan, fleksibel dan semula jadi.

Jenis pemikiran sebegini digunakan dalam kegiatan kreatif seperti menulis atau melukis, dan diperlukan untuk bertindak balas secara inovatif dalam kes-kes kecemasan.

Menurut Horne, kemampuan kita untuk membuat pendekatan yang berbeza kepada sesuatu masalah atau menghasilkan idea baru atau luar biasa terjejas akibat tidak cukup tidur walau semalam.


MENGHALANG PEMBELAJARAN KEMAHIRAN BARU

TIDUR penting untuk pembelajaran. Eksperimen menunjukkan “memori prosedur” - belajar mengenai “bagaimana” dan bukannya “apa” diperolehi ketika kita tidur. Belajar bermain piano atau sukan baru boleh dibantu dengan tidur yang baik pada sebelah malam.

Tidur membolehkan otak menyimpan maklumat baru dalam memori untuk penggunaan pada masa depan. Bahagian otak yang sama yang terbabit dalam mempelajari kemahiran baru ketika berjaga masih sibuk memproses maklumat ketika kita tidur.

Tanpa tidur yang cukup, adalah sukar untuk memberi tumpuan kepada tugasan baru. Itulah sebabnya tidur memainkan peranan penting dalam meningkatkan kemahiran motor seperti bermain alat muzik atau bersukan.

Dalam satu kajian di Universiti Lubeck, Jerman, saintis mendapati subjek ujian yang telah tidur selama 8 jam mampu mempelajari kemahiran motor yang diajar (kemahiran jari jemari membabitkan turutan ketukan jari ke ibu jari) lebih cepat (33.5%) dan tepat (mengurangkan kesilapan sehingga 30.1%) berbanding mereka yang kekal berjaga.


PRESTASI KERJA YANG LEMAH

DI AMERIKA, pejabat-pejabat melaporkan bahawa keadaan mengantuk ketika bekerja “menjelaskan tumpuan, membatasi kerja yang mampu dihabiskan dan menyulitkan kerja yang perlu dilaksanakan.”

Pekerja yang sering kurang tidur biasanya kurang yakin dengan pekerjaan yang dilakukan dan tidak dapat membuat keputusan yang tepat. Mereka membuat keputusan yang silap dan berpegang kepadanya sungguhpun ternyata ia salah.

Lebih buruk lagi, sesetengahnya mungkin menganggap dirinya tidak berguna dan bersalah kerana tidak dapat menjalankan tugas dengan baik. Kadangkala mereka hilang motivasi diri.

Malah mereka mungkin tidak peduli dengan pekerjaan yang dilakukan atau butir-butir yang ada. Mereka tidak ambil pusing untuk memeriksa sekali lagi kerja yang dilakukan biarpun tugasan penting. Oleh itu, kesilapan terus berulang apabila mereka menyedari perkara ini, hingga menyebabkan mereka menyangka ia di luar kawalan mereka.

Tidak cukup tidur yang berterusan juga menggugat kemampuan memberi tumpuan pada tugasan dalam tempoh tertentu. Sebarang gangguan dalam tumpuan boleh menyebabkan mereka tertinggal benda atau melakukan kesilapan ketika mencongak.

Ia boleh menyebabkan mereka membuat pesanan yang salah, atau kesilapan membuat kesimpulan pada kepentingan sesuatu pelaburan.

Sikap sebegini boleh membahayakan jika melibatkan tugas penting yang memerlukan kepekaan. Misalnya tugas seorang pengendali radar, yang memerlukannya memberi sepenuh tumpuan pada skrin untuk mengesan perkara-perkara yang penting yang datang berselang seli.

Menurut seorang psikologis dan pakar dalam ilmu “tidur” dari Universiti Cornell, James Maas, masalah kekurangan tidur dan gangguan ketika tidur menelan belanja kira-kira US$150 juta (kira-kira RM690 juta) setahun berikutan kadar produktiviti kerja, dan kemalangan kerana letih.


MENGANCAM KESELAMATAN

APAKAH persamaan yang ada pada kemalangan nuklear di Chernobyl, tumpahan minyak oleh syarikat Exxon Valdez yang mencemarkan alam sekitar dan kapal angkasa Challenger yang meletup di udara?

Kesemuanya berpunca daripada kecuaian kakitangan yang tidak cukup tidur.

☻ Pada 8 Mac 1979, satu masalah mekanikal yang mudah (kehilangan air penyejuk) dalam salah satu reaktordi sebuah loji tenaga nuklear komersial yang terletak di Three Mile Island, Pennsylvania, hampir-hampir menyebabakan peleburan reaktor.

Pengawal loji tenaga itu gagal mengesan apa yang berlaku keranan mereka kurang tidur. Apabila mereka menyedari hal itu, langkah pembetulan yang diambil hanya memburukkan keadaan. Kemalangan itu berlaku pada pukul 4 pagi.

Pada 28 Januari 1986, kakitangan NASA yang menyelenggara kapal angkasa Challenger telah bekerja bergilir-gilir antara 12-9 jam sebelum mengambil keputusan penting untuk melancarkan kapal angkasa tersebut. Kapal itu meletup sejurus selepas berlepas dan mengorbankan kesemua anak kapal.

Ramai kakitangan menerima kesan akibat tidak cukup tidur. Dua daripada kakitangan terbabit telah berjaga hampir 19 jam dan cuma tidur 2-3 jam sahaja pada malam sebelumnya.

☻ Pada April 1986, kemalangan termahal berlaku dalam bidang penjanaan tenaga nuklear di reaktor nuklear Chernobyl di Ukraine. Peningkatan kepanasan dalam reaktor (yang mungkin telah dibaiki dengan menghidupkan semula sistem keselamatan automatik yang telah dimatikan), menyebabkannya meletup.

Seramai 17 juta orang, termasuk 2.5 juta kanak-kanak di bawah usia 5 tahun terdedah kepada pencemaran radioaktif. Ramai yang mati akibat keracunan radioaktif dan melecur selepas kemalangan itu. Di Ukraine, lima tahun selepas bencana alam itu, kadar kelahiran bayi yang hidup menurun sementara kadar kematian meningkat. Purata jangka hayat penduduk Ukraine selepas bencana itu jatuh daripada 74.5 kepada 63.3 tahun.

Kesemuanya boleh dielak jika kakitangan operasi telah tidur dengan sempurna kerana mereka pasti mampu bertindak balas dengan lebih cekap dan bijak.

☻ Tumpahan minyak oleh Exxon Valdez pada tahun 1989 di Alaska, yang terbesar dalam sejarah tumpahan minyak di AS, dikesan berpunca daripada masalah keletihan teruk pekerja ketiga (beliau cuma tidur 6 jam malam sebelumnya). Pekerja pertama di atas Valdez telah bekerja selama 30 tahun..

Kapal tangki itu menumpahkan 240,000 tong minyak di fjord sejurus selepas tengah malam, menyebabkan kemusnahan besar hidupan liar dan alam.

☻ Pada 23 Oktober 2001, Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan membuat kesimpulan bahawa kesilapan krew kokpit yang terlalu keletihan menyebabkan kemalangan pesawat American Airlines di Little Rock, Arkansas, yang mengorbankan 11 nyawa dan mencederakan 105 orang penumpang.


Keletihan yang membawa maut

DALAM satu kes di bandaraya New York, juri mendapati keletihan di kalangan doktor menjadi penyumbang utama kematian seorang wanita muda yang dimasukkan ke hospital New York kerana deman kuat.

Di kebanyakkan hospital di Amerika, doktor dan kakitangannya sentiasa “on call” sehingga 36 jam pada satu masa. New York kemudian meluluskan satu undang-undang baru yang membatasi kakitangannya bekerja hanya 80 jam seminggu dan tidak lebih daripada 12 jam secara berterusan dalam kes kecemasan, dan tidak lebih daripada 24 jam berterusan di lain-lain jabatan.

(Tidur merupakan satu-satunya cara untuk menghilangkan keletihan, yang tanpa disengajakan menyumbang kepada hampir 2/3 kemalangan jalan raya di AS).

Doktor-doktor yang keletihan tidak mampu merawat dengan baik mahupun memberikan penjagaan optimun kepada pesakit. Kajian mendapati doktor yang kurang tidur menunujukkan penurunan dalam fungsi mental, prestasi psikomotor, mood dan tingkah laku.

Selain itu, kemahiran mencongak dan mengenal pasti ritma degupan jantung yang abnormal daripada elektrokardiogram didapati terjejas. Mereka juga mengalami kesukaran untuk berfikir dan mengalami masa hilang daya ingatan sementara.


Hampir ditimpa bencana

PESAWAT Boeing 707 yang sepatutnya mendarat di Los Angeles berlegar-legar di ruang udara Pasifik sejauh 160 km (100 batu) menggunakan 'autopilot' kerana ketiga-tiga juruterbang tertidur. Pengawal kawalan udara akhirnya berjaya menyedarkan krew dengan menghidupkan amaran kokpit.


PENYUMBANG KEMALANGAN JALAN RAYA

KEADAAN mengantuk juga telah dikaitkan dengan lapse mental “microsleeps”, yang cenderung meningkatkan risiko kemalangan jalan raya.

Satu kajian yang ditaja oleh AAA Foundation for Traffic Safety di AS mendapati, separuh daripada pemandu yang terbabit dalam kemalangan hanya tidur selama 6 jam sahaja sebelum kemalangan.


Pemandu yang mengantuk lebih berbahaya daripada pemandu mabuk

KAJIAN yang dijalankan oleh British, Occupational and Environmental Medicine, mendapati mereka yang memandu selepas berjaga antara 17-19 jam (hari bekerja yang normal bagi ramai orang) menunjukkan prestasi yang buruk berbanding mereka yang mempunyai paras alkohol 0.05% dalam darah.

Tindak balas pemandu yang kurang tidur lebih perlahan – ketepatan, penyelarasan dan penumpuan menjadi lebih rendah berbanding pemandu di bawah pengaruh alkohol. Akibatnya, mereka lebih cenderung terbabit dalam kemalangan.


Panduan Pemanduan yang Selamat

HAMPIR semua orang perlu tidur pada sebelah malam, terutama pada awl pagi antara tengah malam dan Subuh. Seeloknya, jangan memandu di jalan raya antara pukul 2-6 pagi iaitu ketika jam dalaman anda sukar mengelak daripada tidur. Kemalangan cenderung berlaku pada waktu ini.

Secara amnya:

  • Tidurlah dengan secukupnya sebelum memandu di jalan raya.

  • Rancanglah pemanduan pada masa anda biasanya berjaga.

  • Tidur sekejap pada waktu tengah hari, dan tidur antara waktu tengah malam dan 6 pagi.

  • Cuba memandu sambil ditemani seseorang. Berbuallah dengannya sambil memandu bergilir-gilir.

  • Rehat selama 2 jam setiap 100 batu.

  • Awasi tanda-tanda mengantuk pada awal pagi – sukar untuk memfokus, mengangkat kepala, menghentikan menguap, berfikir dengan jelas, mengingati beberapa batu yang terakhir, dan berada di lorong yang betul.

  • Jika penat, jangan memandu.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

TIDUR: RAKAN KARIB KANAK-KANAK

TIDAK CUKUP TIDUR