MASALAH MENTAL

Pada tahun 1959, seorang pengulas radio, Peter Tripp, mengumunkan hasratnya untuk berjaga selama 200 jam (lebih lapan hari) sambil meneruskan tugasnya selama 3 jam sehari, untuk mengumpulkan wang bagi tujuan amal.

Pengumumannya itu menerima maklum balas daripada beberapa orang psikologis, psikiatris dan pakar perubatan lain, yang cuba menasihati beliau agar tidak meneruskan hasratnya itu.

Tripp sebaliknya mempercayai beberapa anekdot perintis dan anggota tentera (yang belum disahkan), yang mendakwa mereka berjaya berjaga sehingga 10 hari di bawah keaadaan yang teruk tanpa menunjukkan sebarang kesan buruk.

Bagaimanapun, demi keselamatan dirinya, beliau membenarkan pakar-pakar perubatan mengawasi percubaannya itu.

Walaupun Tripp berjaya meneruskan usahanya selama 200 jam tetapi beliau cuba menunjukkan tanda-tanda kemerosotan mental, seperti gangguan fikiran dan kurang waras.

Pada penghujung hari ke 4, Tripp gagal menyempurnakan ujian yang paling ringkas, sekalipun memberikan sepenuh tumpuan. Salah seorang psikologis di situ berkata “Di sini ialah pengulas radio yang cekap, yang berusaha keras untuk mengenali huruf-huruf.”

Tambahan pula, Tripp mula mengelamun dan pandangannya sering terganggu. Pada satu ketika, beliau menjadi resah apabila tompokan di atas meja disangkanya seekor kumbang. Beliau menyangka terdapat labah-labah menjalar di sekitar bilik beliau bertugas, malah mengadu ia telah menjalin sarang di atas kasutnya.

Beliau berkata, objek-objek itu kelihatan seperti berubah bentuk tanpa disangka-sangka sementara jam dinding seolah-olah merenung kepadanya dan mempunyai wajah manusia. Selain itu, mood Tripp juga sering berubah-rubah. Ia menjadi paranoid dan penuh syak wasangka sambil menyalahkan penjaga masa di sekelilingnya. “hanya membuang masa”.

Keadaan bertambah buruk pada penghujungnya. Tripp menjadi semakin keliru, dan berasa yakin doktor-doktor yang mengawasinya berpakat untuk menangkapnya.

Pada pagi terakhir cubaanya itu, beliau dikunjungi oleh seorang doktor bersut gelap untuk diperiksa, Tripp membuat kesimpulan bahawa lelaki itu benar-benar seorang penggali kubur dan mahu menanamnya hidup-hidup.

Apabila mencapai kesimpulan sedemikian, beliau menjadi terlalu takut. Sambil menjerit-jerit, beliau berlari ke pintu dan terus ke dewan, dalam keadaan separuh berpakaian dengan beberapa orang doktor dan psikologis mengejarnya.

Tripp sudah tidak lagi dapat membezakan antara yang benar dan impian. Selepas puas dipujuk, barulah Tripp mahu kembali ke bilik kaca untuk menyelesaikan tugasannya.

Pada penghujung 200 jam (sebenarnya 201 jam kerana usaha memujuk oleh doktor dan ujian selanjutnya mengambil masa selama sejam), Tripp dibawa pulang ke rumah di mana beliau tidur selama 13 jam tanpa jaga.


SEORANG pelajar Randy Gardner, 17, yang tercatat namanya dalam Guiness Book of World Records pada 1965 kerana berjaya tidak tidur selama 264 jam (11 hari), turut mengalami perkara yang sama.

Doktor yang melakukan pemeriksaan neurologi kepadanya melaporkan yang berikut:

Pada hari ke 2, Randy mengalami kesukaran untuk memfokus matanya dan terpaksa melupakan hasratnya untuk menonton TV bagi sepanjang percubaannya itu. Beliau juga mulai sukar mengenali objek melalui sentuhan. Pada hari ke 3, moodnya mulai berubah-rubah, dan terdapat beberapa perkara yang menunjukkan ketahanan dan penyelarasan fizikalnya bertambah buruk, satu keadaan yang dikenali sebagai ataxia. Beliau juga mengalami kesukaran untuk mengulangi bahasa yang berbelit-belit.

Pada hari ke 4, Randy bertambah mudah meradang dan enggan bekerjasama. Kemampuan mentalnya merosot, daya ingatannya menjadi lemah dan beliau sukar menumpukan perhatian.

Beliau juga mengembangkan sensasi yang aneh atau salah tanggapan, misalnya kabus dilihatnya seolah-olah memenuhi lampu jalan.

Sekitar pukul 3 pagi, halusinasi mula menghantui dirinya: beliau fikir papan tanda sebagai seorang manusia. Tidak lama kemudian, beliau menyangka dirinya seorang pemain bola sepak.

Pada hari ke 5, beliau melihat laluan dari bilik di hadapannya menuju ke hutan yang sunyi-sepi.

Pada hari ke 7 dan ke 8, pertuturannya tersekat-sekat. Keadaan mudah radang dan tidak bekerjasama muncul semula. Kesukaran untuk mengingati sesuatu perkara atau memberi tumpuan menjadi lebih ketara.

Pada hari ke 9, fikirannya mulai bercelaru dan beliau semakin sukar menghabiskan ayat. Penglihatannya yang kabur itu menjadi bertambah buruk dan matanya berlari ke kanan dan ke kiri.

Pada hari ke 10, beliau mengalami paranoia kerana seolah-olah dirinya diperbodohkan.

Pada hari ke 11, sungguhpun beliau nampak sihat (dengan penyelarasan dan imbangan yang normal), jari jemarinya kelihatan agak terketar-ketar sementara jangtungnya berdebar-debar.

Matanya tidak dapat memfokus dengan betul, dan wajahnya seperti tidak berperasaan. Pertuturannya gagap dan tanpa nada naik turun, malah perlu digalakkan berbual untuk mendapatkan respons daripadanya.

Temph tumpuannya juga terlalu singkat sementara kemampuan mentalnya terjejas sama sekali. Ketika diminta membilang angka 100 dari belakang dengan menolak 7 pada setiap kali, beliau hanya mampu sampai kepada 65 kemudian berhenti. Ketika ditanya kenapa, beliau berkata tidak dapat mengingati apa yang sepatutnya dilakukan.

Apabila usahanya sampai ke penghujung, Randy pulang ke rumah dan tidur selama 14¾ jam iaitu kira-kira 6¾ jam lebih lama daripada biasa.


SEKALIPUN keadaan tidak cukup tidur dihentikan sebelum seseorang itu berada di ambang maut, kesan-kesan psikologi – halusinasi dan kemerosotan daya ingatan seperti yang ditunjukkan dalam kes-kes di atas – dipetik dari sebuah buku berjudul Sleep Thieves, boleh menjadi sesuatu yang tidak menyenangkan.

Tidur diperlukan untuk mengekalkan hubungan mental kita yang normal dengan dunia. Keadaan tidak tidur yang berpanjangan membuatkan anda seolah-olah terputus hubungan dengan dunia luar dan hilang akal.

Ini akan disusuli dengan perasaan resah gelisah dan khuatir keadaan seseorang itu mungkin tidak dapat dipulihkan kembali.

Fikiran negatif seperti ini ditambah pula dengan perasaan seperti hilang kawalan menjelaskan kenapa tidak dibenarkan tidur sering dijadikan cara untuk mendera seseorang. Misalnya gangguan tidur yang berterusan dikatakan menjadi senjata paling berkesan untuk “melembutkan” banduan.

Gangguan tidur juga sering digunakan secara sengaja untuk mendapatkan pengakuan palsu. Jika berterusan terlalu lama, mangsa dera akhirnya akan percaya bahawa keterangan palsu yang diberikan itu adalah benar.

Menurut penemuan Amnesty International, 54% mangsa dera yang ditemu bual melaporkan tidak dapat tidur 24 jam atau lebih. Keadaan tidak cukup tidur mungkin berlanjutan selama seminggu. Ia juga menggalakkan gejala fikiran kurang waras di kalangan mereka yang menghadapi masalah kejiwaan.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

TIDUR: RAKAN KARIB KANAK-KANAK

BAGAIMANA TIDUR JEJASKAN OTAK

TIDAK CUKUP TIDUR